Skip to main content

PERANAN PEGUAM MEWAKILI PENJENAYAH

ANTARA perkara yang selalu menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat awam apabila mendapat tahu seseorang itu bertugas sebagai peguam­bela dan peguamcara, atau sedang belajar dalam bidang perundangan dan bakal menjadi peguam, adalah berke­naan dengan persoalan, di manakah letaknya nilai prinsip dan moral seseorang peguam yang sanggup mempertahankan dan membela seseorang penjenayah yang dituduh di mahkamah; tidak tahukah para peguam membezakan dosa dan pahala, hanya semata-mata untuk mengaut yuran guaman beribu-ribu?
Bayangkan apabila seseorang itu didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah, atau membunuh, atau merogol, misalnya — tentu sahaja masyarakat pada umum­nya menginginkan keadilan terlaksana dengan memastikan penjenayah tersebut disumbat di penjara, atau jika perlu, dihukum dengan sebatan dan hukuman lain yang diperuntukkan di sisi undang-undang semaksimum mungkin. Hal ini penting, supaya keselamatan awam dapat dijaga, penjenayah diasingkan bagi melindungi orang awam dari­pada perbuatan jenayahnya, selain sebagai suatu proses untuk menghukum dan memulihkan agar pesalah dapat kembali ke pangkal jalan.
Sehinggakan, tugas peguambela terkadang dikecam sebagai kononnya suatu profesion untuk memutarbelitkan fakta dan bukti, bagi melepaskan penjenayah daripada menjalani proses hukuman ini.
Pun demikian, maksim yang masyhur dalam bidang perundangan jenayah menetapkan bahawa seseorang itu hendaklah ditanggapi sebagai tidak bersalah di sisi undang-undang, selagi mana dia tidak dibuktikan bersalah melalui proses keadilan. Proses keadilan di sini bermaksud proses mengadili seseorang tertuduh itu di mahkamah, berasaskan keterangan dan bukti-bukti yang sahih. Seseorang yang telah dituduh melakukan jenayah mempunyai hak untuk menafikan dakwaan tersebut. Penafian ini perlulah diberikan ruang untuk dihujahkan di mahkamah secara penuh, sebelum sabitan atau pembebasan dapat diputuskan oleh mahkamah.
Di sinilah letaknya pera­nan seseorang peguam­bela itu untuk mewakili orang kena tuduh dalam mem­bela dirinya — memastikan pro­ses keadilan dapat berjalan dengan lancar; membangkitkan beberapa keraguan, jika ada, terhadap kesahihan dan kebolehpercayaan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan; serta bagi memastikan tidak ada orang yang tidak bersalah dihukum atas dakwaan palsu. Atau, jika pun seseorang kena tuduh itu sememangnya bersalah dan mela­kukan jenayah tersebut, maka peguam­bela masih tetap mempunyai tanggungjawab bagi memastikan agar dia tidak dihukum melangkaui had hukuman yang sepatutnya, sesuai de­ngan jenis kesalahan yang telah dilakukannya.
Bermaksud, jika seseorang penjenayah itu melakukan kesalahan, dan hukumannya yang setimpal di sisi undang-undang adalah dua tahun penjara, maka menjadi tanggungjawab peguambela untuk memastikan dia dihukum tidak melebihi daripada tempoh tersebut. Demikian juga jika di sisi undang-undang ada pengecualian tertentu — misalnya berkenaan dengan umur atau jantina atau keadaan-keadaan tertentu seperti kesempitan hidup dan penyakit kronik sehingga mendorong penjenayah melakukan sesuatu perbuatan jenayah — maka sekali lagi menjadi tanggungjawab peguambela untuk menghujah perkara-perkara ini kepada mahkamah, untuk dipertimbangkan dan diambil kira dalam menentukan pengurang­an hukuman.
Harus diingatkan bahawa keadilan bukan hanya terdapat dalam hukuman, tetapi juga boleh ditemui dalam kemaafan.
Sungguhpun seseorang peguambela itu bertugas dalam sebuah firma swasta, pada hakikatnya dia masih tetap berperanan dan bertanggungjawab sebagai pegawai mahkamah. Justeru, selain mewakili orang kena tuduh yang membayar yuran guamannya, dia juga bertanggungjawab terhadap institusi kehakiman, bagi memastikan keadilan dapat terlaksana. Kerana itulah, bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak, seseorang peguam sebenarnya tidak boleh memutarbelitkan fakta atau kete­rangan semata-mata untuk membela anak guamnya yang dituduh di mahkamah. Sebaliknya, dia terikat de­ngan kod etika yang ketat, seperti diperuntukkan di bawah Aturan Profesion Perundangan (Amalan dan Etika) 1978 (APPAE 1978), untuk antara lainnya, tidak melakukan sebarang helah atau penipuan kepada mahkamah ketika mengendalikan kes-kes yang dibawa.
APPAE 1978 juga memperuntukkan bahawa seseorang peguam itu tidak boleh mengatakan tidak terhadap kewajipan untuk mewakili seseorang anak guam, melainkan terdapat pengecualian tertentu seperti konflik kepen­tingan. Ini sekali gus meletakkan kewajipan kepadanya untuk mewakili setiap anak guam, sungguhpun dia tahu bahawa anak guam itu sememangnya melakukan jenayah seperti yang dituduh. Hanya sanya, cara bagaimana dia membuat pembelaan tersebut hendaklah terikat kepada kod-kod etika seperti yang telah disebutkan tadi, demi memastikan kepentingan keadilan dipelihara.
Pada akhirnya, seperti yang diingatkan dalam mafhum sebuah hadis riwayat Tarmizi, kesilapan pemerintah dalam memberi kemaafan lebih baik daripada kesilapannya dalam mengenakan hukuman.

credit: 
Hubungi kami: mutiararuslylaw@gmail.com 
(No.tel/wassap: 011-19990747)

Comments

Popular posts from this blog

Mitigasi Kes Dadah (Akta Dadah Berbahaya)

Di Mahkamah paling banyak kes yang ada hari-hari adalah kes dadah. 1) Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 . Kesalahan di bawah seksyen ini selalunya disebut sebagai 'kes urine ' yang mana apabila polis membuat ujian air kencing/sample darah, air kencing tersebut didapati positif dadah (mengandungi dadah). Hukuman: Denda tak melebihi RM5,000 atau penjara tak melebihi 2 tahun. Untuk tuduhan bawah Seksyen  15 (1)(a) ADB  , selalunya OKT akan mengaku salah. jarang-jarang OKT tidak mengaku salah dan minta dibicarakan kerana hukuman yang ditetapkan adalah agak ringan, iaitu paling tinggi denda RM5,000 yang mana jika minta dibicarakan kos untuk melantik peguam adalah lebih tinggi dari denda yang dikenakan Mahkamah lebih kurang RM1,500-RM3,500 (bergantung kepada budibicara majistret masing-masing). Kecuali jika seseorang itu berstatus tinggi, mempunyai reputasi yang perlu dijaga. Dia akan minta dibicarakan dan melantik peguam untuk membersihkan namanya walaupun menelan kos yan...

HIBAH UNTUK KELUARGA

Banyak kes keluarga pecah belah kerana harta pusaka. Putus sedara kerana keluarga berebutkan tanah. Sedangkan waktu kecil mereka adalah adik beradik yang saling menyayangi sentiasa bermain bersama. Anak menantu hidup sebatang kara kerana tidak mampu mempertahankan hak nya yang diambil ipar duai. Kenapa ini terjadi? Kerana ibu bapa belum mempunyai kesedaran tentang perancangan harta setelah mereka pergi. Rakyat Malaysia perlu diberi kesedaran tentang kepentingan HIBAH. Hibah adalah pemberian sewaktu hidup dari seseorang kepada seseorang. Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja , keluarga, kawan, saudara atau sesiapa sahaja tanpa halangan dengan syarat si pemberi adalah sihat, waras dan tiada paksaan. Hal ini kerana harta itu adalah milik kita sewaktu hidup, jadi kita mempunyai kuasa untuk memberi kepada sesiapa sahaja. Namun, jika tiada hibah, wasiat atau pesanan apa-apa kepada ahli keluarga sebelum kita meninggal, segala harta di bawah nama kita akan dibahagikan mengik...

SETIAUSAHA SYARIKAT (SDN BHD) NEGERI KELANTAN

Tetuan Mutiara Rusly & Co. telah dilantik sebagai SETIAUSAHA SYARIKAT yang berdaftar bawah SSM. Kami menyediakan perkhidmatan penubuhan syarikat sendirian berhad baru dan perkhidmatan pengurusan perniagaan. Mempunyai lesen yang sah dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan servis ini di bawah Seksyen 235 Akta Syarikat, 2016. Perkhimatan yang ditawarkan adalah seperti berikut : Penubuhan syarikat sdn bhd baru Kesetiausahaan syarikat Perakaunan & percukaian Pendaftaran pelbagai lesen (MOF, PKK, CIDB, KWSP, SOCSO, PETRONAS dll.) Pendaftaran perniagaan (ROB) Kertas kerja pinjaman Dan lain lain. Untuk keterangan lanjut boleh wassap kami: www.wassap.my/601110640676/SSM Atau call 011-10640676 Hanani